Tuesday, May 3, 2011

Sabah (part 1): Terbang ke Negeri Bawah Bayu

     Dari KL Sentral, kami menaiki bas ke LCCT dengan tambang RM 8 seorang. Bas bertolak tepat pukul 8 pagi. Perjalanan ke LCCT mengambil masa lebih kurang 1 jam. Setelah tiba di terminal LCCT, Kuala Lumpur, kami terus ke kaunter untuk check in dan mengambil boarding pass.

     Setelah check in, kami pergi ke balai perlepasan. Segala kelengkapan yang kami bawa diperiksa dengan rapi. Beg yang kami bawa dimasukkan ke mesin pengimbas. Kemudian, kami terpaksa melalui pintu besi untuk memastikan bahawa kami tidak membawa sebarang apa-apa pun yang mencurigakan. Seorang demi seorang melepasi pintu itu. Apabila giliran saya, pintu itu berbunyi. Maka, saya terpaksa diperiksa oleh pegawai kastam yang bertugas di situ. Kemudian, setelah tidak mengesyaki apa-apa, kami dilepaskan.

     Tidak lama kemudian setelah kami menunggu di balai perlepasan, gate dibuka. Kami dengan girangnya bingkas bangun dari tempat duduk dan beratur untuk masuk ke badan pesawat.

Dengan harga promosi, kami hanya perlu membayar RM78 untuk tambang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu termasuk harga tiket pergi dan balik dengan Air Asia.

      Sebelum kapal terbang berlepas, para pramugari menerangkan langkah keselamatan yang perlu diambil jika berlaku sebarang kemalangan. Kami berasa agak cuak ketika itu, kami berkata di dalam hati, Bagaimana jika keadaan tersebut benar-benar terjadi? Para pramugari menerangkan langkah-langkah jika kapal kerbang terhempas di lautan dan cara menyelamatkan diri. Saya juga dapat memerhatikan salah seorang pemuda yang merupakan penumpang dalam pesawat yang kami naiki, jelas di mukanya perasaan cuak. Setelah arahan kapal terbang akan berlepas tidak lama lagi, pemuda tersebut berpura-pura tidur. 

     Tepat jam 10.20 pagi, pesawat Airbus A320 yang kami naiki berjaya diterbangkan oleh seorang juruterbang yang amat mahir.  Pesawat yang kami naiki meluncur laju ke angkasa raya. Kami dapat menikmati pemandangan yang begitu indah di udara. Sebelum pesawat yang kami naiki terbang lebih tinggi lagi, kami dapat menyaksikan panorama di Putrajaya yang begitu indah dari dalam pesawat.

     Setelah kapal terbang yang kami naiki berada dalam keadaan stabil pada ketinggian 30 000 kaki dari aras laut, kami dibenarkan menanggalkan tali pinggang keselamatan. Pemuda yang berpura-pura tidur tadi sudah tidak cuak lagi. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Perjalanan itu terasa sekejap sahaja apabila ditemani oleh krew-krew penerbangan yang ramah dan cantik.


     Apabila hampir tiba di Kota Kinabalu, krew penerbangan memberitahu bahawa kami akan mendarat tidak lama lagi. Dia juga memberitahu bahawa kami sekarang berada di perairan Labuan.  Dari situ, kami boleh lihat Brunei, pulau Labuan dan negeri Sabah dari tingkap pesawat kami. Pemandangan di situ begitu cantik. Kawasan pantai yang membiru, dan kawasan daratan yang menghijau, terasa sejuk mata memandang. Lama-kelamaan, telinga kami berasa agak sakit akibat perbezaan tekanan udara yang begitu mendadak sebelum mendarat. Saya terpaksa menghisap gula-gula yang saya bawa untuk memudahkan menelan air liur. Selepas itu, saluran eustachia kembali normal.

     Tepat jam 12.50 tengah hari, pesawat yang kami naiki berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan jayanya. Selepas itu, kami terpaksa menguruskan hal imigresen kami tentang kemasukan kami ke Sabah sebagai urusan sosial. Dalam perjanjian tersebut, kami hanya dibenarkan berada di Sabah dalam masa 3 bulan sahaja. Kertas itu kami simpan dengan rapi supaya kami dapat pulang ke Kuala Lumpur dengan lancar.



    Setelah tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu Terminal 2(KKIA2), apakah yang kami lakukan? Tunggu sambungannya nanti ya.

BERSAMBUNG